Perspektif Guru Besar

D alam kesempatan yang terluang ini, terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat secara langusng mahupun tidak langsung dalam merealisasikan penubuhan Laman Web Sekolah ini.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkayakan rakyat Malaysia dengan ilmu IT, SKTS menyahut cabaran ini lalu terzahirlah sebuah laman web yang memang dinanti-nantikan oleh setiap warganya. Seluruh warga sekolah harus berbangga dengan produk yang lahir atas usaha kita bersama.

Dalam bebanan tugas yang semakin mencabar, para pendidik juga perlu kreatif, inovatif dan proaktif agar dapat juga diterapkan kepada semua anak didiknya. SKTS telah membuktikannya dengan kecemerlangan yang dicapai hari ini. Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran, Sekolah Harapan Negara, Anugerah 3K dan pelbagai lagi lahir atas daya usaha yang berterusan antara semua warga sekolah dengan segala penerapan nilai-nilai positif ini. Usaha untuk mencapai taraf yang tinggi ini didahului oleh kekangan yang tidak kurang hebatnya namun warga SKTS telah mengambilnya sebagai satu ‘challenge' yang tidak boleh tidak harus didepani dan diatasi melalui interaksi dan kerjasama yang cemerlang dari semua pihak.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Atas daya inilah tujuan utama laman web ini menjadi kenyataan. Ibubapa diberi kemudahan secara langsung untuk mengetahui intipati dan agenda sekolah yang boleh didapati dengan hanya satu ‘klik' di hujung jari. Kemudahan di hujung jari ini juga bagi memudahkan para pelawat yang mengunjung ke laman web ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang SKTS dan pencapaiannya.

Manfaatkanlah ilmu yang ada di sekeliling kita. Arus perubahan dan pemodenan haruslah kita terokai bersama agar kita tidak ketinggalan dalam anjakan paradigma ini. Semoga segala keringat yang tumpah menjanjikan satu harapan baru dalam usaha membawa SKTS ke arah yang lebih cemerlang dengan prestasi yang mengagumkan, Insya Allah.

 

Sekian, terima kasih.

Encik Ruslan bin Madon,

Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Taman Setiawangsa,